Friday, May 18, 2007

Solat

Antara nikmat terbesar bagi Muslim adalah solat lima waktu siang dan malam. Selain daripada meleburkan dosa dan mengangkat darjat, ia juga terapi besar bagi kesedihan dan ubat mujarab bagi penyakit. Solat umpama charger yang mengecas bateri spiritual manusia.
Nabi Muhammad apabila bersedih kerana suatu perkara, beliau berkata, “Hiburlah kami dengan solat, wahai Bilal.” Solat adalah kebahagiaan beliau. Hakikatnya, ceria dan bahagia itu datang daripada Tuhan. Apabila sentiasa mengingati Tuhan, hati kita tenang dan damai.
Apabila dalam keadaan stres, sedih ataupun resah disebabkan oleh cabaran, rintangan atau masalah yang dihadapi, sembahyang yang dilakukan dengan khusyuk iaitu dengan penuh tumpuan, dapat melegakan dan menurunkan kadar stres. Lakukan solat walaupun hanya dua rakaat. Dalam surah al-Baqarah ayat 153, Allah menyatakan yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat.” Dengan izin Tuhan, solat dapat menghilangkan kesedihan dan keresahan di jiwa. Solat juga memberikan ketenangan dan kekuatan pada jiwa.
Solat adalah stress-reliever paling baik. Setiap malam, Nabi Muhammad tidak pernah meninggalkan sembahyang malam. Sembahyang memberikan kekuatan kepada dirinya bagi terus melaksanakan tanggungjawab dan tugas yang diberikan Allah. Para sahabat juga menjadikan solat sebagai penenang, bukan sahaja semasa dalam keadaan sukar, malah dalam keadaan senang.
Selain daripada solat, zikir juga adalah salah satu cara mengingati Tuhan. Orang yang sentiasa mengingati Tuhan sentiasa berasa tenang. Mungkin secara luaran nampak seperti biasa, tidak ada kelebihan. Malah mungkin lebih miskin dan sebagainya. Tetapi jiwanya lebih tenang kerana sentiasa ingat kepada Tuhan. Jika dibandingkan dengan si kaya yang sentiasa tidak tenang kerana banyak berfikir tentang harta tetapi mengabaikan tanggungjawab kepada Tuhan.
Sebanyak mana kita berzikir, sebanyak itu jiwa berasa lapang, tenang, bahagia dan ceria. Ini kerana, dalam zikir terdapat makna tawakal kepadaNya, bergantung harap kepadaNya, bersandar kepadaNya, kembali kepadaNya, berbaik sangka kepadaNya dan menunggu kemudahan daripadaNya.
Apabila hati yang berada di dalam tubuh dalam keadaan tenang, lapang dan bahagia, maka ia terpancar pada wajah individu yang memiliki hati itu. Wajahnya ceria dan tenang dipandang. Bukan dia sahaja berasa tenang, malah menenangkan orang di sekelilingnya. Oleh itu, carilah keceriaan dan kebahagiaan daripada Tuhan kerana ia adalah hakiki.

No comments: